TAIPING – Kerajaan negeri memberi komitmen untuk menyelesaikan isu pewartaan tanah seluas 0.2610 hektar di sekitar Jeti Kampung Dew di sini selewat-lewatnya penghujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Tan Kar Hing berkata, proses pewartaan tanah itu bagi tujuan pelancongan kelip-kelip kini berada di dalam fasa penyediaa pelan warta.

“Permohonan merizabkan kawasan ini telah dibawa ke sidang DUN pada 2013 dan telah pun diluluskan namun dari segi teknikal ia belum selesai atas sebab ada beberapa pindaan yang perlu dibuat.

“Dari segi keluasan tapak itu, pada Mac lalu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan 0.2347 hektar untuk dirizabkan, namun terdapat sedikit pindaan dari keluasan sebelum ini kepada 0.2610 hektar,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di kampung terbabit, di sini pada Selasa.

Tambah beliau, pewartaan itu perlu diselesaikan segera bagi memastikan kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai itu dapat dilindungi daripada pencerobohan.

“Dari segi dasarnya kerajaan negeri akan terus mengambil inisiatif yang progresif supaya benda ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat untuk memastikan produk pelancongan ini kita manfaatkan.

“Sudah tentu kita akan terus bekerjasama dengan semua pihak di sini termasuk persatuan pelancongan untuk kita bincangkan apakah langkah seterusnya untuk kita majukan lagi kawasan ini,” ujar beliau.

Dalam lawatan itu, beliau turut mengumumkan kerajaan negeri akan memberi bantun untuk membaikpulih beberapa stuktur yang terjejas ekoran ribut di jeti berkenaan baru-baru ini.