LUMUT : Jeti Sungai Pinang Kecil di Pulau Pangkor dibuka sementara bagi mengurangkan kesesakan yang dijangka berlaku sempena cuti Tahun Baru China ini.

Pengarah Sekretariat Pulau Bebas Cukai Pangkor, Laila Mazwin Zakaria berkata, jeti itu akan dibuka dari 23 hingga 27 Januari.

Menurutnya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat penyelarasan Pulau Bebas Cukai Pangkor yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim pada Isnin.

“Perkara ini mengambil kira pergerakan ribuan pengunjung ke Pulau Pangkor sempena sambutan Tahun Baru China dan cuti sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Justeru itu, katanya, kerajaan negeri memohon perhatian dan kerjasama segera daripada agensi-agensi yang terlibat untuk memastikan pelaksanaan pembukaan sementara itu berjalan lancar.