KUALA LUMPUR 3 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) meminta ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low supaya pulang ke Malaysia sekiranya benar-benar mahu memberikan kerjasama berhubung siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, Jho Low merupakan warganegara Malaysia dan sekiranya dia berada di luar negara, dia perlu pulang ke tanah air.

“Semua agensi (siasatan) seluruh negara tercari-cari Jho Low, sesiapa yang ada maklumat salurkanlah.

“Kalau dia nak bagi kerjasama, dia datang jumpa SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media yang mengatakan Jho Low kini berada di Dubai dan akan memberikan kerjasama dari negara Timur Tengah tersebut. – UTUSAN ONLINE