RAMAI yang mungkin berasakan rekod kebangsaan 50m kuak lentang milik Lim Keng Liat tidak mungkin akan dapat diperbaharui untuk tempoh sedekad lagi, namun Tern Jian Han menafikannya apabila melakar rekod baru, hari ini.

Jian Han sudah memberi amaran awal mampu memecahkan rekod 25.67 saat milik Keng Liat yang menyaksikannya meraih pingat perak pada edisi 2002 di Manchester apabila mencatat masa 25.83s pada saringan sebelah pagi untuk layak ke separuh akhir.

Pada separuh akhir, Jian Han mencatat masa 25.60s untuk menamatkan saingan di kedudukan keempat sekali gus memecahkan rekod kebangsaan yang bertahan selama 16 tahun.

Atlet kelahiran Johor itu muncul perenang kelima terpantas sekali gus menempah tiket final esok.

Bagaimanapun, Jian Han perlu memperbaiki catatan sekurang-kurangnya 0.50s lagi daripada rekod kebangsaan miliknya itu dalam usaha untuk memenangi pingat.

Dia juga perenang kedua Malaysia layak ke final selepas Welson Sim menamatkan saingan di kedudukan ketujuh dalam acara 400m gaya bebas, kelmarin.

“Saya amat gembira dapat memecahkan rekod Keng Liat. Dia dikenali sebagai perenang legenda negara, jadi saya amat teruja dapat memperbaiki catatan itu.

“Saya sedar masa yang dicatatkan mampu memperbaharui rekod baru kebangsaan tapi saya tidak terlalu memikirkannya pada peringkat saringan kerana tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri.

“Sasaran saya di sini adalah untuk memperbaiki rekod peribadi dan dapat memperbaharui rekod yang dicatat Keng Liat satu kejayaan besar yang tidak diduga,” katanya – hmetro