KUALA LUMPUR: Taklimat Presiden yang merupakan acara rasmi pertama kepada pembukaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menjadi medan untuk Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menentukan hala tuju dan fokus.

Najib yang dikelilinggi pemimpin kanan parti di atas pentas utama Dewan Merdeka PTWC memberikan amanatnya kepada 5,739 perwakilan Perhimpunan Agung UMNO dan perwakilan sayap-sayap parti.

Seperti biasa, taklimat dilakukan secara tertutup, tiada wakil media dibenarkan membuat rakaman.

Namun daripada reaksi pemimpin-pemimpin UMNO yang ditemui selepas taklimat tersebut, semua membayangkan mereka sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

“Jika ingin menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, buat cara nak menang”, itu antara kata-kata Najib menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, Presiden parti meminta semua pemimpin UMNO agar menghentikan ‘war room’ atau gerak kerja yang berfikiran menang untuk parti dan bukan untuk PRU14.

“Saya merasakan Presiden telah membuat satu kenyataan yang begitu jelas iaitu kalau nak menang buat cara nak menang.

“Beliau juga meminta supaya semua ahli UMNO memberi tumpuan kepada PRU dan bukan kepada pemilihan parti.

“Teguran terbuka secara jelas dan ikhlas juga dilontarkan kepada sesiaapa yang ada war room atau gerak kerja untuk menang pemilihan parti dan bukan untuk pru,” katanya kepada media.

Tambah Mohd Puad, Presiden turut menasihati ahli UMNO agar sumber kekuatan, tenaga yang digunakan untuk pemilihan parti digunakan untuk menang pada PRU akan datang.

“Beliau meminta agar supaya ahli-ahli yanh berada di atas mahupun di bawah untuk patuh kepada arahannya.

“Saya rasa mood itu cukup jelas agar semua pihak menyokong permintaan parti untuk menang PRU nanti,” katanya.