PUCHONG: Seorang jiran mendakwa melihat seorang bapa menggunakan mop untuk mengelap kesan darah anaknya yang berlumuran di hadapan rumah, di Flat Puchong Permai, di sini, semalam.

Kanak-kanak yang berusia lima tahun itu dipercayai diletakkan di hadapan rumahnya selepas lelaki itu menetak anaknya di bahagian kepala dan tangan dengan parang sehingga maut.

Jiran suspek, S Letchumy, 68, berkata jiran lain juga memaklumkan suspek berada dalam keadaan tidak sedar dan ‘lalok’ ketika membersihkan kawasan rumahnya.

“Ada jiran tanya, itu anak kamu ke? Lelaki itu mengatakan tidak, seolah-olah lelaki itu tidak sedar apa yang berlaku.

“Suspek lap darah yang berlumuran itu lewat petang semalam, ketika itu saya baru bangun daripada tidur.

“Saya tidak pergi ke lokasi kejadian, saya ada masalah jantung.

“Saya mendapat maklumat mengenai insiden itu daripada jiran lain, saya menangis ketika mendengar apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di flat itu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang semalam, suspek berusia 35 tahun itu dikatakan menetak tiga kali bahagian kepala dan pergelangan kanan anaknya yang sedang tidur.

Suspek ditahan di rumahnya dan mendakwa membunuh anaknya selepas mendengar bisikan suara ghaib.

Selain itu, suspek juga dipercayai peminum tegar ketum dan didapati positif dadah jenis syabu – berita harian