KUALA LUMPUR: Seramai 3,040 pengemis tempatan dan warga asing diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam 1,805 operasi di seluruh negara sehingga November tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata, daripada jumlah itu, 2,585 adalah pengemis tempatan manakala 455 adalah warga asing.

Beliau berkata, mereka diselamatkan menerusi 249 operasi bersepadu, 730 operasi berjadual dan 826 operasi berdasarkan aduan atau adhoc di seluruh negara.

“Pengemis yang didapati pendatang asing tanpa izin (PATI) atau bukan warganegara akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk diambil tindakan undang-undang.

“Pengemis tempatan yang tidak mempunyai waris dan berumur bawah 60 tahun akan ditempatkan di Desa Bina Diri (DBD) manakala pengemis melebihi 60 tahun diberi perlindungan di Rumah Seri Kenangan (RSK),” katanya.

Azizah berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) di dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Nai Kwong meminta kerajaan menyatakan bilangan operasi menyelamatkan pengemis di beberapa kawasan bandar dan langkah mengurangkan gejala mengemis.

Azizah berkata, JKM bertindak sebagai urus setia Jawatankuasa Bagi Membanteras Pengemisan di peringkat nasional dan berperanan menyelaras program serta merangka tindakan bersepadu antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

“Agensi terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Kesihatan.

“Setiap agensi akan mengambil tindakan terhadap kumpulan sasar mengikut bidang kuasa agensi masing-masing,” katanya – berita harian