IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak hanya menerima peruntukan daripada kerajaan negeri, malah turut mendapat peruntukan dari kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menegaskan tidak timbul isu kedua-dua jabatan berkenaan menerima sedikit peruntukkan di dalam Bajet 2017 Perak.

Menurut beliau, kedua-dua jabatan tersebut tidak bergantung kepada peruntukan oleh kerajaan negeri semata-mata.

Beliau berkata, walaupun peruntukan JKR Perak tahun hadapan berkurangan dari RM70 juta ke RM60 juta, tetapi jabatan itu tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan tersebut untuk beroperasi.

“Sebenarnya kerajaan Persekutuan juga akan memberi peruntukkan khas, seperti tahun ini JKR telah menerima RM180.8 juta untuk pembaikkan, penyelengaraan dan sebagainya berkaitan jalan raya.

“Jika ditambah dengan peruntukkan pembangunan yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan, kementerian dan pelbagai lagi, peruntukan itu telah mencapai RM425.3juta dan selalunya setiap tahun dana itu akan bertambah,” katanya dalam satu sidang media khas ketika Sidang DUN, pada Isnin.

Tambah beliau, walaupun JPS turut menerima peruntukan khas daripada kerajaan Persekutuan, namun kerajaan negeri tetap meningkatkan peruntukkan daripada RM16 juta kepada RM19 juta.

“JPS juga sama, bagi tahun 2016 sahaja sejumlah RM77 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan kepada JPS negeri dan ianya tidak termasuk peruntukkan yang kita sediakan.

“Kita siap tambah RM3 juta lagi kerana kita rasakan ianya penting bagi memastikan jabatan ini mempunyai dana yang cukup bagi memastikan keselamatan rakyat dapat dipertingkatkan khususnya pada musim banjir,” jelas beliau.