IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat pemantauan rapi terhadap Jambatan Sultan Yusof yang dibuka kepada kenderaan ringan mulai esok (Ahad).

Bagaimanapun kenderaan berat masih perlu menggunakan lalu alternatif seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pemantaun rapi itu demi keselamatan pengguna2 jalan raya.

Menurut beliau, papan tanda jalan alternatif juga telah diletakkan bermula dari Taman Desa Aman (Teluk Intan FT005) manakala dari Sitiawan akan diletakkan di persimpangan Felda Changkat Lada (A266).

Beliau meminta pengguna terus bersabar dan mematuhi papan tanda arah dan keselamatan yang telah disediakan di jalan-jalan terlibat.

“Kesulitan pada hari ini untuk kesenangan pada masa depan kita semua.

“Komitmen dan kerjasama anda amatlah kami hargai serta kemaafan dipohon dari kami atas perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jambatan tersebut yang ditutup Ogos lalu menimbulkan keresahan lebih 17,000 pengguna harian jalan yang menghubungkan Teluk Intan dan Manjung.