IPOH: Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak sentiasa memantau kawasan yang sering berlaku kemalangan di Jalan Ipoh – Lumut dan mengambil tindakan untuk meminimakan kemalangan di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, pelbagai langkah telah dibuat demi untuk memastikan keselamatan pengguna.

Beliau memberitahu, antara tindakan yang telah diambil termasuklah mengecat semula garisan jalan, menambah bilangan papan tanda dan lampu amaran.

“Kerajaan negeri melalui JKR negeri sentiasa mengambil maklum dan tindakan terhadap semua aduan mengenai jalan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan lisan Yong Choo Kiong (PKR – Tronoh) semasa sidang Dewan Negeri Perak pada Khamis.

Zainol menjelaskan, walaupun laluan itu adalah jalan persekutuan dan menerima peruntukan persekutuan untuk kerja-kerja baikpulih, ada ketikanya kerajaan negeri menggunakan peruntukan negeri untuk langkah segera.

Menjawab soalan wakil yang sama mengenai kemungkinan pembinaan jalan alternatif, beliau memberitahu, JKR juga telah membuat kajian mengenai laluan sepanjang 160 kiometer (Ipoh – Unitata – sempadan Perak Selangor.

“Bagaimanapun, setakat ini kita belum mendapat maklum balas mengenai kajian itu dan tumpuan dibuat kepada kerja-kerja pembaikan jalan,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Rashidi Ibrahim (BN – Pasir Panjang), Zainol memberitahu, JKR telah membelanjakan hampir RM4 juta setahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan sepanjang tahun lalu, termasuk penyelenggaraan rutin kira-kira RM2 juta.