SITIAWAN: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JKTSM) akan mengadakan pertemuan susulan dengan majikan serta pihak berkaitan selepas garis panduan atau kod etika berpakaian bagi pekerja wanita Islam di sektor swasta dimuktamadkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Jeffrey Joakim, berkata pihaknya sudah mengadakan beberapa sesi perbincangan awal dengan agensi tertentu khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), persatuan perhotelan dan majikan supaya dapat menyediakan satu garis panduan lengkap.

Katanya, ketika ini garis panduan itu berada di peringkat akhir dan pihaknya akan memperhalusinya lagi sebelum dibawa kepada kerajaan untuk kelulusan.

“Apabila kod etika berpakaian ini siap, tentu sekali kita perlu mengadakan perbincangan dengan majikan supaya garis panduan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Tujuannya adalah untuk meningkatkan suasana harmoni di tempat kerja dan membolehkan semua pihak menghormati hak masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Bersepadu 1Visit-Policy 2018 di Kampung Acheh di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dasar larangan bertudung terhadap pekerja wanita Islam yang dilaksanakan beberapa hotel di negara ini yang menjadi kontroversi sebelum ini.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Mujahid Yusof ketika di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, kerajaan akan memastikan kod etika berpakaian untuk pekerja wanita Islam di sektor swasta yang kini dalam fasa akhir, dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Pihak JTKSM bersama Kementerian Sumber Manusia dan JAKIM turut bekerjasama merangka kod etika itu, dengan tumpuan kepada sektor swasta kerana sektor awam sudah mempunyai garis panduan sedemikian.

Sementara itu, Mohd Jeffrey berkata, Operasi Bersepadu 1Visit-Policy 2018 itu dijalankan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) serta Cawangan Kawal Selia dan Penguatkuasaan Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata, pihaknya memeriksa 21 premis pelbagai sektor di sekitar kawasan ini bagi memastikan undang-undang dipatuhi.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati ada beberapa kesalahan yang dilakukan majikan seperti kegagalan menyediakan data pekerja, tidak menyimpan rekod pembayaran gaji, tiada kontrak pekerjaan dan tidak melaporkan penggajian pekerja asing.

“Lawatan ke atas penginapan pekerja mendapati ia berada di tahap baik namun masih banyak perlu diperbaiki terutama aspek kebersihan, keselamatan dan kesihatan, malah kita juga mencadangkan pengudaraan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut memeriksa 13 premis pekerjaan dan mengeluarkan 11 notis kepada majikan di sekitar Taiping, semalam yang dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Kerja 1955.

Katanya, bagi tahun ini pihaknya menjalankan lapan operasi membabitkan 107 majikan di seluruh negara dan sebanyak 45 notis pematuhan atas pelbagai kesalahan sudah dikeluarkan.