TELUK INTAN – Berjoging dan mengutip sampah merupakan dua perkara yang berbeza tetapi atas rasa prihatin ia mampu dijadikan sebagai satu aktiviti yang mendatangkan faedah kepada pelbagai pihak malah juga alam sekitar.

Menyedari perkara berkenaan, Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) melancarkan program Jom Riadah – Bersih dan Indah dikenali sebagai Plogging sempena program Perak Bersih dengan konsep berjoging sambil mengutip sampah di sepanjang laluan yang mereka lalui.

Yang Dipertua MPTI, Azizan Abd Muin berkata, dengan plogging kita mahu ubah di mana tanpa bergotong-royong kita juga boleh mengutip sampah dan ia dilakukan sambil melakukan aktiviti berjoging yang mana ada dua faedah satu untuk kesihatan dan kedua untuk kebersihan.

“Plogging ini bukan hanya boleh dilakukan di kawasan riadah seperti taman permainan atau padang tetapi juga di kawasan tumpuan yang dijadikan sebagai lokasi berjoging seperti taman perumahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Azizan turut menasihatkan orang ramai khususnya penduduk Teluk Intan dan amnya pelancong luar agar bersama-sama menjaga kebersihan bandar yang sinonim dengan Menara Condong itu.

Menurut Azizan lagi acara berkenaan akan dijadikan sebagai salah satu acara rasmi MPTI yang akan dijalankan setiap hari Jumaat minggu ketiga setiap bulan – sinar