PETALING JAYA: Pelakon Johan As’ari tidak menyangka video dia sedang menari bersama pelakon kontroversi Iqram Dinzly dalam siaran langsung Instagram baru-baru ini menjadi tular dan disalah tafsir netizen.

Johan, 31, berkata kehadirannya ke kediaman pelakon itu di Ipoh, Perak sekadar untuk bertanya khabar dan menziarahi sahabat yang tular dengan aksi-aksi pelik.

“Rancangan saya pada awalnya untuk berjumpa Datuk Ustaz Kazim Elias di Ipoh, jadi dalam kesempatan itu saya singgah berjumpa dengan Iqram di rumahnya.

“Saya menari suka-suka sahaja untuk hiburkan Iqram dan saya sedar tentang rakaman secara langsung itu. Saya minta maaf dan tidak sangka pula orang salah tafsir sehingga menjadi tular,” ujarnya.

Video secara langsung Johan dan Iqram mendapat perhatian dan ratusan komen netizen pada Isnin.
Sementara itu, Johan berkata, masyarakat perlu memberi sedikit masa untuk Iqram yang dirasakan menghadapai beberapa tekanan dan masalah peribadi.

“Bagi saya dia okey sebenarnya, cuma perlu beri sedikit masa kerana ibunya yang masih dalam edah akibat kematian suami,” ujarnya.

Dalam pada itu, Johan berkata, dia turut membawa Iqram menziarahi Ustaz Kazim di kediaman penceramah bebas itu.
Johan berkata, dia berhasrat untuk belajar di madrasah yang dikendalikan Ustaz Kazim selepas tamat penggambaran drama terbarunya.

“Saya menziarah Ustaz Kazim dan berniat untuk belajar dengan beliau selepas selesai penggambaran drama terbaru saya yang bermula 8 Januari ini,” ujarnya.