SEOUL: Pemimpin Korea Utara dan Selatan kini dalam perjalanan ke Zon Bebas Tentera yang memisahkan negara itu bagi menghadiri sidang kemuncak bersejarah, pertemuan tertinggi setakat ini selepas pergeseran dalam diplomasi nuklear baru-baru ini.

Pertemuan di bahagian selatan kampung keamanan Panmunjom, yang ketiga seumpamanya sejak Perang Korea 1950-1953 berakhir, bertujuan membuka jalan pertemuan di antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Agensi berita rasmi Utara, KCNA berkata Jong Un akan ‘dengan hati terbuka membincangkan semua isu yang timbul dalam meningkatkan hubungan antara Korea dan mencapai keamanan, kemakmuran serta penyatuan semula Semenanjung Korea.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in meninggalkan Rumah Biru awal pagi tadi diiringi berpuluh konvoi kenderaan sambil diraikan penduduk yang menunggu di sepanjang jalan sambil mengibarkan bendera Korea.

Jae-in dijangka akan menyambut ketibaan Jong Un di blok konkrit yang menandakan sempadan di antara kedua-dua Korea di Zon Bebas Tentera untuk memulakan upacara yang cukup bersejarah itu dengan penuh simbolik.

Sebaik Jong Un melangkah garisan itu, beliau akan menjadi pemimpin Korea Utara yang pertama menjejakkan kaki di Selatan sejak Perang Korea berakhir 65 tahun yang lalu. – AFP

Layari Galeri Jong Un, Jae-in ke sidang kemuncak bersejarah Korea di https://www.bharian.com.my/taxonomy/term/13/2018/04/417568/jong-un-jae-k…

Berita harian