MOSCOW: Landasan sebuah lapangan terbang di Russia dilitupi emas apabila pintu pesawat kargo yang dipenuhi bahan berharga itu terbuka ketika berlepas semalam.

Pesawat Antonov sedang berlepas selepas mengisi minyak di lapangan terbang di Yakutsk di Siberia apabila pintunya terbuka dan hampir 200 jongkong emas dari lombong Kupol bertaburan di atas landasan

Berat kargo logam berharga itu adalah 9.3 tan.

“Ketika ia semakin tinggi, pintu kargo rosak disebabkan pergerakan kargo dan sebahagiannya bertaburan di atas landasan,” menurut Jawatankuasa Siasatan Russia dalam kenyataan di Telegram.

Pesawat berkenaan terpaksa berpatah balik ke lapangan terbang, dan polis segera menutup kawasan itu untuk menghalang penduduk tempatan mengambil jongkong emas, lapor laman berita tempatan Yakutmedia.

Ia menyiarkan video apa yang kelihatan ketulan besar keputih-putihan bertaburan di atas landasan.

“Kira-kira 172 jongkong seberat 3.4 tan ditemui. Cuma sebahagian yang jatuh daripada kira-kira sembilan tan yang ada dalam pesawat,” kata Kementerian Dalam Negeri kepada agensi berita TASS. – AFP