Oleh: Syafiq Noordin

BAGAN DATUK: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta mengkaji semula skim gaji tenaga pakar sektor kesihatan bagi mengelakkan kumpulan pakar berkenaan berhijrah keluar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu bagi memastikan fenoma “brain drain” yang berlaku di kalangan golongan berkenaan yang lazimnya berhijrah kerana pendapatan lumayan, dapat dihentikan.

Menurut beliau, sekiranya fenomena itu tidak diambil peduli atau diambil tindakan, negara akan mengalami kerugian besar.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk pihak JPA melihat skim dan struktur gaji ahli-ahli profesional ini untuk mengelak daripada berlakunya masalah kehilangan tenaga kerja.

“Walaupuna kita tahu ia (skim gaji) akan melibatkan pelbagai sektor juga tapi negara tidak mampu kehilangan pakar-pakar ini kepada negara luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Kesihatan Pergigian Warga Kolej Komuniti Peringkat Kebangsaan 2017 di sini pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Tambah Ahmad Zahid, kerajaan juga telah membelanjakan wang yang banyak untuk latihan serta pendidikan lanjutan golongan tersebut, namun negara-negara luar langsung tidak berbuat demikian.

“Ianya satu merugikan kerana kita telah melabur dengan wang yang begitu banyak, namun negara lain yang mengambil mereka bekerja.

“Justeru saya menyerahkan masalah ini kepada kebijaksanaan Ketua Pengarah JPA untuk selesaikan,” kata beliau.