KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan mesej yang tular di media sosial yang mendakwa operasi besar-besaran dilakukan pada 23 Disember ini hingga 1 Januari nanti.

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook JPJ, agensi terbabit menegaskan bahawa mesej tular yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp itu adalah tidak benar.

“JPJ ingin menegaskan bahawa mesej atau kenyataan yang tular itu adalah tidak benar dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya sebarang mesej tular yang tidak mempunyai sumber sahih dan kemudian menyebarkannya sebelum mendapat pengesahan daripada pihak JPJ.

“Orang ramai boleh mengikuti media sosial rasmi JPJ bagi mendapatkan perkembangan terkini dan maklumat lanjut,” katanya.

Dalam mesej tular itu mendakwa JPJ bersama pihak polis akan mengadakan operasi besar-besaran bermula 23 Disember ini hingga 1 Januari 2019 sempena tahun baru di Semenanjung Malaysia.

Mesej itu mendakwa sekatan jalan bagi mengesan kenderaan yang melakukan kesalahan seperti kenderaan diubah suai, lori lebih muatan, cermin kereta gelap, tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan lain-lain kesalahan.

Menurut mesej itu, sekatan jalan raya akan dijalankan selama 12 jam bermula jam 8 malam hingga 7 pagi – berita harian