PETALING JAYA : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menafikan dakwaan seorang murid tahun enam yang putus kaki dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu menghala Bukit Besi di Terengganu, semalam berpunca daripada operasi menahan lori kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

Pengarahnya, Zulkarnain Yasin kesal dengan tindakan provokasi orang ramai dan sikap tidak bertanggungjawab netizen menyebarkan gambar serta video nahas itu di laman sosial mendakwa anggota JPJ sebagai punca kemalangan berkenaan, tanpa usul periksa sehingga menjejaskan reputasi serta keselamatan anggotanya.

Katanya, semua anggotanya tidak cedera dan laporan polis dibuat malam tadi berhubung perbuatan khianat serta ancaman beberapa orang awam terhadap anggota JPJ.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat bagi membuat satu lagi laporan polis berkaitan fitnah yang disebarkan sehingga menjejaskan imej serta reputasi anggota dan jabatan itu.

“Saya ingin tegaskan kemalangan itu tiada kena-mengena dengan JPJ, cuma semasa kejadian tiga anggota saya berada berhampiran lokasi.

“Yang amat saya kesali ialah tindakan melulu dan provokasi orang awam di lokasi kejadian sehingga mengancam keselamatan anggota saya dan merosakkan kenderaan jabatan,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Adli Mat Daud dipetik Bernama sebagai berkata kemalangan itu berlaku kira-kira 7.30 malam Isnin ketika Muhammad Zulhaikal Mohammad, 12, dari Sekolah Kebangsaan Peroh membonceng motosikal ditunggang bapa saudaranya, Samri Said, 52.

Turut membonceng motosikal itu ialah anak Samri yang juga sepupu Zulhaikal, Nur Farahiya Najwa Samri, 10.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta yang datang dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil memotong sebuah lagi kereta lain, sebelum bertembung motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa.

“Ketiga-tiga mereka cedera parah dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.