IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia meletakkan sasaran penurunan sebanyak 10 peratus dan 50 masing-masing bagi kadar kemalangan maut di lebuhraya dan jalanraya melibatkan kenderaan persendirian dan motosikal sepanjang musim perayaan ini.

Pengarahnya Mohd Zawawi Zakaria berkata, melalui Ops Hari Raya Aidilftri 2018 yang bermula dari 8 hingga 24 jun di seluruh negeri Perak ini juga, pihaknya turut menyasarkan sifar kemalangan dan kematian melibatkan kenderaan kategori bas.

“Seramai 239 anggota dan pegawai akan terlibat dalam operasi ini yang akan dibuat di beberapa lokasi penguatkuasaan antaranya di terminal bas seperti Amanjaya, Kamunting Raya, Seri Manjung dan Terminal Intan.

“Selain itu, ia juga akan dibuat di Enforcement Base Station (EBS) di pejabat PLUS seperti di Plaza Tol Tapah, Plazal Tol Slim River, Plaza Tol Kuala Kangsar, Plaza Tol Kamunting dan Plazal Tol Alor Pongsu,” katanya pada satu sidang media di sini pada Isnin.

Tambah beliau, operasi itu akan dibuat dengan menggunakan lapan strategi yang digariskan jabatan terbabit bagi memastikan objektif ditetapkan dapat dicapai.

“Antaranya memberi fokus kepada Ops Sisi dan pemeriksaan bas di depoh dan terminal, kemudian melakukan rondaan di lebuhraya dan jalan utama selain penguatkuasaan khas motosikal.

“Kita juga akan melajukan penyamaran sebagai penumpang bas, rakamn video kesalahan secara elektronik di lebuhraya dengan menggunakan kamera kenderaan penguatkuasaan.

“Selain itu melalui aduan awam dan operasi bilik kawalan, ceramah keselamatan jalanraya di agensi-agensi, pejabat kerajaan dan lain-lain serta pemasangan baru kamera AWAS yang mana akan dilaksanakan oleh ibu pejabat kami,” jelas beliau.

Jelas beliau lagi, dalam operasi yang telah berlangsung itu juga, pihaknya akan memberi tumpuan kepada tujuh kesalahan utama iaitu tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Turut terlibat ialah kesalahan memandu di lorong kecemasan, tidak emakai tali pinggang keledar, memandu di lorong kanan secara bertusan dan memotong barisan.

“Setakat 8 Jun sehingga semalam, JPJ Perak telah mengeluarkan sebanyak 241 notis dan saman melibatkan 184 pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengankutan Jalan 1987,” kata beliau.