PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan DAP Kepong sedang merancang mendaftar MyKad bagi pendatang haram China menerusi satu klip video yang tersebar di media sosial.

JPN berkata, ia adalah video lama berhubung mesej disalah tafsir ketika itu yang menyebabkan orang ramai tiada kerakyatan, pemegang kad pengenalan sementara dan pemegang kad pengenalan tetap berpusu-pusu ke pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menukar status kewarganegaraan mereka.

“Program anjuran pejabat Parlimen DAP Kepong pada penghujung 2018 tersebut hanya melibatkan sesi penerangan dan taklimat berhubung tatacara permohonan kewarganegaraan dan kad pengenalan oleh JPN.

“Tiada urusan permohonan dilaksanakan pada hari tersebut dan JPN menasihatkan mereka yang hadir untuk pergi ke pejabat JPN berhampiran bagi urusan permohonan kewarganegaraan dan kad pengenalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, JPN meminta orang ramai segera menghentikan penyebaran video itu di media sosial bagi mengelakkan kekeliruan dan seterusnya menggugat ketenteraman awam.

JPN berkata, tindakan undang-undang boleh diambil bagi penyebaran maklumat tidak benar oleh individu tidak bertanggungjawab.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh ke pejabat JPN atau melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau hubungi Unit Komunikasi Korporat JPN di talian 03-8880 7077/ 7067/ 7069/ 8206 atau e-mel ke pro@jpn.gov.my.