Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PARIT BUNTAR: Intipati dan pendekatan Program Permukiman Menteri Besar yang berlangsung sejak Februari 2016 sewajarnya menjadi contoh untuk mengenalpasti masalah sosial di kalangan belia.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata program permukiman yang berkonsepkan turun padang (3P) itu sewajarnya menjadi panduan bagi Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam menyelami permasalahan dihadapi pelajar di sekolah.

Katanya, dalam setiap program permukiman di mana-mana daerah kerajaan negeri akan mengkhususkan program berkonsepkan santai bual bicara, pendekatan ke setiap sekolah dan penggunaan cara kreatif untuk memahami cabaran anak muda pada hari ini.

“Saya yakin dan amat percaya, sekiranya konsep dalam membongkar masalah belia di akar umbi seperti yang dilakukan di program permukiman MB diterapkan, maka JPN dan PPD akan dapat mengekang isu kebiasaan di kalangan darah muda hari ini.

“Malah, masalah disiplin seperti ponteng, gejala sosial malah masalah kemiskinan dapat ditangani secara strategic dan efisien,” katanya.

Dr Muhammad Amin berkata, ibubapa dan guru harus bertindak secara proaktif dan bekerjasama bukan sahaja dalam membentuk sahsiah pelajar dan anak mereka tetapi juga mengetahui pengaruh persekitaran serta masalah secara ikhlas dan berpanduan.

“Program permukiman Menteri Besar Perak, telah mendekati puluhan ribu belia dari pelbagai latar belakang, baik di dalam dan luar bandar, baik menengah dan peringkat mahasiswa justeru masalah di peringkat akar umbi dapat dirungkai dan diselesaikan bersama.

“Suara belia harus didengari, dan diselami barulah mereka merasai sumbangan idea kepada pembentukan negeri ini, kepada Malaysia sekaligus membuatkan mereka terdorong untuk melakukan lebih baik, dalam pelajaran atau kehidupan seharian,” ujarnya.