PETALING JAYA : Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) memanggil ahli jawatankuasa 3 pertubuhan untuk memberi keterangan berhubung dakwaan terbabit dalam perhimpunan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang awal bulan ini.

Katanya, hanya 3 daripada 9 pertubuhan yang terbabit dalam majlis peringatan ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai di Kajang pada 1 Dis lalu berdaftar dengan JPPM.

“JPPM telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 66 Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPPM memberi amaran kepada ahli 6 lagi pertubuhan yang tidak berdaftar dengannya, mereka boleh dipenjarakan jika melanggar undang-undang.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin hari ini mengesahkan 6 daripada 9 pertubuhan yang dipercayai menghadiri majlis peringatan itu ialah pertubuhan haram.

Katanya, tindakan tegas akan diambil jika hasil siasatan polis mendapati ada usaha menghidupkan semula ideologi komunis di negara ini.

Perjumpaan itu difahamkan sebagai memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hatyai yang ditandatangani kerajaan Malaysia dan PKM pada 2 Dis 1989.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dilaporkan berkata, pihaknya mengenal pasti 4 individu memberi ucapan dalam majlis itu, iaitu Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu, editor Persatuan Persahabatan Abad ke-21 dan wakil PKM serta Persatuan Kawan Karib Sarawak.

Katanya, polis akan mendapatkan laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta JPPM untuk membantu siasatan, dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara berdasarkan dapatan hasil siasatan.