IPOH – Kerajaan negeri sentiasa peka dan prihatin dengan masalah banjir yang kerap melanda beberapa daerah dan kawasan di negeri ini.

Jawatankuasa Kemudahan Awam Dan Infrastruktur, Pertanian Dan Perladangan YB Abdul Yunus Jamahri berkata Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) menyediakan khidmat kepakaran dalam pengurusan tebatan banjir serta melaksanakan program tebatan banjir untuk melindungi nyawa dan harta benda rakyat.

“Beberapa langkah telah diambil oleh pihak JPS bagi kerja-kerja mencegah banjir di negeri Perak, antaranya adalah memantau dan telah melaksanakan kerja-kerja menyelenggara Sungai Trong mengikut kemampuan peruntukan sedia ada untuk mengurangkan kejadian banjir dan melaksanakan pembinaan beberapa rumah pam kekal secara berperingkat bagi mengurangkan masalah banjir semasa hujan lebat.

“Selain itu, JPS sedang mencadangkan satu kajian dilaksanakan untuk penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah banjir yang melibatkan Sungai Bukit Gantang dan Sungai Bukit Berapit. Walaubagaimanapun, JPS telah melaksanakan kerja-kerja selenggaraan secara berkala bagi mengurangkan risiko banjir di Sungai Bukit Gantang dan Sungai Bukit Berapit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Beliau turut memaklumkan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Siput Chandan telah diluluskan di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia ke-11. Status semasa projek tersebut ialah proses pengambilan tanah telah selesai dan dokumen tender telah disiapkan.

“Walaubagaimanapun pelaksanaan projek akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan Malaysia,” tambah beliau.

Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau menjelaskan, bagi isu sistem saliran dan penyelenggaraan parit di kawasan sawah padi di Daerah Sungai Manik, JPS telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan taliair dan parit di kawasan Pengairan Sungai Manik yang dilakukan sebanyak empat kali setahun.

“Sehingga kini dua pusingan telah dilaksanakan oleh pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK). Oleh yang demikian JPS telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di taliair utama, taliair kedua, pembuang utama dan pembuang kedua,” tambah beliau.