TAIPING – Kerajaan negeri akan mengadakan rundingan dengan kerajaan Pusat mengenai permohonan kerajaan Pulau Pinang yang berhasrat untuk membeli bekalan air mentah dari negeri ini.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri Abdul Yunus Jamhari berkata, permohonan tersebut masih dalam peringkat kajian dan belum dimuktamadkan.

“Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) ada membentangkan permohonan kerajaan Pulau Pinang kepada Exco di sini baru-baru ini. Pulau Pinang mahukan air mentah dan Perak tidak bersedia menjual air mentah dan mahu menjual air terawat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat jawatankuasa teknikal ‘Enhancement of Water Resources Management For Sungai Perak Hydroelectric Scheme’ di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Tan Yew Chong.

Pada tahun lepas, kerajaan Perak di bawah pimpinan BN sebelum ini enggan menjual air mentah Sungai Kerian kepada kerajaan Pulau Pinang berikutan mereka mahu menjual semula air yang dirawat kepada Perak.

Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus yang juga Adun Kuala Kurau berkata projek pemindahan bekalan air dari Sungai Perak ke Kolam Bukit Merah bagi menampung permintaan terutama pada musim kemarau di daerah Kerian masih dalam kajian.

Menurut Abdul Yunus, pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada beberapa agensi mengenai kaedah yang sesuai jika ia dilaksanakan, namun setakat ini belum ada keputusan muktamad mengenainya kerana kerajaan negeri bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan pusat.

Bercakap mengenai program tersebut, Abdul Yunus berkata objektifnya adalah untuk membincangkan cadangan ke arah pemerkasaan pengurusan sumber air untuk negeri ini dengan memberikan fokus kepada empat perkara antaranya keperluan pengangkutan air di sepanjang Sungai Perak serta masalah pengangkutan endapan dan langkah mitigasi terhadap masalah seperti musim tengkujuh dan kemarau.

“Kesemua pengguna air dari lembangan Sungai Perak serta pihak-pihak berkepentingan perlu mengambil maklum dan menjadikan penyelidikan ini sebagai rujukan,” katanya.

Tambah Abdul Yunus, Sungai Perak merupakan tulang belakang kepada aktiviti ekonomi di sepanjang lembangan bermula di hulu lembangan Sungai Perak dan empat empangan hidroelektrik utama iaitu Temenggor, Bersia, Kenering dan Chenderoh.- Bernama