IPOH – Status penjualan air di antara Perak dan Pulau Pinang dijangka akan dimuktamadkan sebelum penghujung tahun ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, kedua-kedua negeri itu sudah pun hampir mencapai kata sepakat bagi penjualan air tersebut.

Katanya, perjanjian dan persefahaman dalam urusan penjualan air berkenaan juga dibuat secara menang-menang.

“Saya sebagai Menteri Air, saya boleh membantu mereka (Perak dan Pulau Pinang) dan mendapatkan sokongan daripada kedua negeri untuk mengadakan satu penyelesaian terhadap isu ini.

“Saya akan mengadakan lawatan rasmi ke negeri Perak pada 20 September ini bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk berkenaan isu membabitkan penjualan air,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perjumpaan bersama masyarakat India Tambun di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Beliau berkata, penjualan air ini akan menguntungkan kedua-kedua pihak.

“Melalui penjualan air ke Pulau Pinang itu, Perak boleh memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

“Manakala, Pulau Pinang boleh menggunakan air itu untuk dijualkan pula kepada rakyat di Pulau Pinang, melalui itu negeri akan mendapat sedikit keuntungan daripada perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Xavier berkata, kerajaan mengharapkan agar sumber yang ada di negeri masing-masing dapat dikongsi.

Sebelum ini, kerajaan persekutuan menyatakan kesediaan untuk menyediakan peruntukan bagi membina terowong air dalam usaha Perak menjual air terawat kepada Pulau Pinang.

Xavier dalam kenyataannya berkata, pelan bagi rancangan penjualan air itu sudah tersedia dan satu mesyuarat antara kerajaan Perak dan Pulau Pinang akan diadakan bagi membincangkan perkara itu – sinar