IPOH: Tanggapan bahawa barah payudara hanya berisiko kepada wanita di pertengahan usia wajar disangkal kerana sejarah perubatan membuktikan ia mampu menyerang wanita di pelbagai peringkat umur.

Atas kesedaran itu, Persatuan Pedagang Dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) negeri Perak dengan kerjasama Persatuan Pink Champion Perak (PPCP) berusaha mengumpul dana menerusi penjualan baju ‘Saya Malaysia’.

Menurut Setiausaha PERDASAMA daerah Kinta, Rehana Mohd Abbas, inisiatif itu dilaksanakan bagi memberikan sokongan kepada pesakit barah payudara yang cekal menghadapi penyakit pembunuh nombor satu wanita di Malaysia itu.

“Kami mulakan projek penghasilan baju ini sejak tahun lalu dan sebagai usahawan, kami sentiasa mencari idea invotif untuk ketengahkan produk dan salah satunya baju ini yang berkonsepkan hipster.

“Sehelai baju berharga RM25 dan setiap pembelian, RM10 akan disumbangkan untuk persatuan mengumpul dana,” katanya kepada media sempena majlis penyerahan dana dan jualan amal di Hospital Pantai Putri Ipoh pada Selasa.

Hadir sama Yang Dipertua PERDASAMA Perak, Suhaida Hashim.

Menurut Rehana, pada setiap baju terdapat nombor bagi mengetahui bilangan yang terjual dan pembeli juga akan diberi sijil sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan kepada program itu.

Dalam pada itu, menurut Penasihat PPCP, Dr. Sumithra Sivasunthoam, sokongan moral dari keluarga dan masyarakat sangat penting untuk mengembalikan semangat pesakit.

“Berdasarkan pengalaman saya, pesakit paling muda berusia 21 tahun dan ini membuktikan semua peringkat umur boleh diserang barah payudara… tidak semestinya hanya mereka di usia 60 atau 70 tahun.

“Peranan persatuan penting kerana semua yang ada di Pink Champion merupakan mereka yang pernah menghidap barah payudara dan mereka lebih faham apa yang pesakit lain rasa,” kata beliau.

 

img-20170110-wa0012    img-20170110-wa0013
Sementara itu, bekas penghidap barah payudara selama hampir 20 tahun, Jamaliah Amri,61, menyifatkan peluang hidup kali kedua itu sangat bermakna buatnya yang pernah merasakan dunianya gelap setelah disahkan menghidap penyakit berkenaan.

“Masa doktor cakap yang saya hidap barah payudara tahap dua, rasa dunia kecil sangat dan hanya fikir pasal mati sahaja…tapi alhamdulillah dengan sokongan suami, keluarga dan persatuan ini saya jadi kuat.

“Selama 20 tahun saya berjuang melawan penyakit ini, akhirnya saya sudah semakin pulih selepas jalani pembedahan buang sebelah payudara dan sekarang saya nak bantu orang lain pula dengan sertai persatuan ini,” kata Jamaliah.