IPOH – Penjualan dua ekor lembu korban melibatkan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Bagan Datuk baru-baru ini dilihat sebagai satu isu yang serius.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata, pihaknya kesal dengan perkara itu kerana dua daripada tiga lembu berkenaan adalah sumbangan peribadi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi tujuan agihan kepada golongan asnaf dan rakyat di Bagan Datuk.

“Menteri Besar nyata kesal apabila kedua-dua haiwan berkenaan dijual untuk tujuan yang lain.

Pemimpin Bersatu didakwa jual lembu korban sumbangan

“Oleh itu kita difahamkan laporan telah difailkan semalam dan susulan laporan berkenaan, Menteri Besar menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Iskandar Dzulkarnain berkata demikian selepas seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Bersatu Bahagian Bagan Datuk tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa tiga pemimpin di bahagian berkenaan melakukan penyelewengan dengan menjual dua ekor lembu sumbangan sempena Hari Raya Aidiladha.

Kejadian berkenaan juga didakwa berlaku sejak tahun lalu apabila tiga lembu korban daripada Ahmad Faizal dijual pada 21 Ogos oleh dua pemimpin bahagian itu kepada seorang lelaki dengan harga RM5,000 dipercayai untuk tujuan peribadi.