KUALA LUMPUR: Tawaran untuk menjual atau sewa permit import (AP) diluluskan kerajaan untuk membawa masuk gula bertapis dari negara jiran, dikesan dilakukan secara terbuka termasuk dihebahkan dalam talian.

AP berkenaan yang dipercayai diberikan kerajaan sebelum ini kepada pihak tertentu termasuk syarikat tempatan dimanipulasi untuk meraih untung atas angin mencecah jutaan ringgit, sama ada dijual atau disewakan.

Sumber pengilang gula tempatan mengakui penjualan atau sewaan AP bagi membawa masuk gula dari luar negara adalah mencurigakan kerana bekalan semasa di pasaran tempatan ketika ini berlebihan.

“Saya sendiri ada terima maklumat daripada pemborong mengenai puluhan ribu tan gula Thailand masuk ke pasaran kita awal tahun ini. Ia menimbulkan tanda tanya kerana permohonan untuk AP gula biasanya dibuka jika bekalan dalam negara tak cukup,” katanya kepada BH.

Tawaran menjual atau menyewakan AP gula secara terbuka itu termasuk menerusi portal pengiklanan menimbulkan persoalan sama ada pihak berkenaan benar-benar memerlukan permit terbabit atau sebenarnya mahu meraih komisyen dan untung mudah.

Semakan BH dalam satu portal menemui lebih 20 iklan berkaitan AP gula yang dimuat naik sejak September 2015 dan terbaru Jun lalu.

Selain tawaran jualan atau sewaan oleh individu dipercayai ejen pemilik AP, ada juga iklan permintaan menyewa permit itu.

Mereka turut menyertakan caj tertentu antara 23 hingga 33 sen bagi setiap kilogram (kg) gula yang perlu dibayar pembeli atau penyewa AP, manakala kadar minimum bekalan ditetapkan antara 1,000 hingga 10,000 tan sebulan.

Tawaran secara kontrak

Malah, ada juga tawaran untuk membekalkan gula khususnya dari Thailand dan India secara kontrak, sama ada dalam bentuk mingguan, bulanan atau setahun, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai ketelusan proses pengagihan AP gula oleh kerajaan.

Berdasarkan maklumat, penjualan dan sewaan AP gula mempunyai kaitan dengan kejatuhan ketara harga gula di pasaran dunia berikutan lebihan bekalan global yang diburukkan lagi dengan pengeluaran gula terlalu tinggi dari India dan Thailand.

Ia menyebabkan gula bertapis berharga lebih murah dibawa masuk dari negara jiran untuk menjana keuntungan lebih besar berikutan pasaran Malaysia menetapkan harga gula RM2.95 sekilogram sebelum ini.

Sumber berkata, tindakan mengeluarkan AP gula ketika harga barang itu di pasaran dunia menjunam adalah tidak adil kerana pengilang tempatan terpaksa mengekalkan harga pada paras siling walaupun harganya di pasaran global melambung sebelum itu.

“Ketika harga gula dunia melonjak beberapa tahun lalu, pengilang minta kerajaan menaikkan harga gula di pasaran tempatan, namun ditolak menyebabkan pengilang terpaksa menyerap tekanan kos tinggi bahan mentah.

“Apabila harga gula jatuh, kami dimaklumkan AP gula dibuka untuk membawa masuk gula murah dari Thailand. Ini sekali lagi menyebabkan pendapatan pengilang ditekan dan ia tidak adil serta menyukarkan kami,” katanya.

Katanya, turun naik harga gula di pasaran dunia adalah perkara biasa dan import bahan itu hanya relevan ketika harga jatuh kerana apabila ia naik semula, pengimport tidak akan menjual gula pada harga lebih tinggi berbanding harga siling ditetapkan kerajaan.

“Pengguna perlu sedar import gula adalah bermusim. Tahun ini musim panas panjang menyebabkan hasil tebu melonjak dan meningkatkan bekalan bahan mentah untuk gula. Sebab itulah Thailand memiliki lebihan gula yang tinggi dan harga gula dunia jatuh.

“Apabila permintaan tinggi atau bahan mentah berkurangan, harga gula akan melonjak. Pada waktu itu, pelanggan akan kembali kepada pengilang gula tempatan kerana harganya lebih rendah,” katanya – berita harian