PETALING JAYA : Pertubuhan Pemilik Tanah dan Waris Tanah (PPTWT) Kampung Baru di ibu negara menegaskan menjual tanah milik mereka kepada kerajaan bukan penyelesaian terbaik bagi membangunkan semula kawasan penempatan itu.

Zainudin Ismail

Setiausahanya, Zainudin Ismail berkata pembangunan tetap boleh dijalankan kerajaan tanpa menuntut pemilik menjual tanah di Kampung Baru.

“Kita memang setuju pembangunan di Kampung Baru, niat kerajaan itu sudah bagus, tapi kaedah itu (jual tanah) kami tidak setuju.

“Kami tak setuju jual sebab kami tak nak hilang tanah kami. Beliau (Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad) kata bukan nak rampas tanah kami ,tapi apabila kerajaan beli itu rampaslah,” kata beliau kepada FMT.

Menyentuh soal kenyataan Khalid yang memerlukan kesemua 5,359 orang pemilik bersetuju sebelum pembangunan dijalankan di Kampung Baru, Zainuddin berkata pembangunan boleh diteruskan tanpa menanti semua pihak bersetuju.

“Jika sehingga hujung tahun ini tiada kata putus (bukan semua setuju jual), maka kerajaan bangunkanlah 30% kawasan itu.

“Baki itu tanah kami, jadi kami nak majukan sendiri, apa salahnya?” tanyanya.

Isnin lalu, Khalid mengesahkan 32% atau 1,716 orang daripada 5,359 pemilik telah memberi respons iaitu 93.7% bersetuju manakala 6.2% lagi tidak bersetuju dan 0.1% tidak jelas.

Menurutnya, sesi perjumpaan yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman sebelum ini hanya komunikasi sehala dan maklumat sebenar tidak sampai kepada kedua-dua pihak.

“Dalam pertemuan sebelum ini lebih 1,000 orang datang, nak bincang macam mana? Tumpuan pun tak ada, sepatutnya Khalid jumpa pemilik dalam 20 hingga 30 orang sahaja.

“Turun ramai-ramai susah nak bercakap. Sampai sekarang kami tak dapat jumpa Khalid. Beliau kata tak nak jumpa NGO, tak apa kami pemilik juga,” katanya.

Sebelum ini, PPTWT mengumumkan untuk mengadakan himpunan 24 Nov ini bagi mencari kata sepakat dalam kalangan pemilik dan pewaris.

Putrajaya sebelum ini menaikkan harga tawaran iaitu RM1,000 bagi setiap kaki persegi tanah dengan RM850 dibayar melalui tunai, hartanah, kombinasi aset dan hartanah serta RM150 melalui pegangan saham syarikat tujuan khas (SPV) yang akan ditubuhkan nanti.

Sebagai tambahan, pemilik tanah yang memilih untuk membeli hartanah dalam projek pembangunan di Kampung Baru akan diberikan diskaun sebanyak 15%.