BERA: Lebih 2,000 penduduk sekitar Parlimen Bera tidak melepaskan peluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas menerusi program Jualan Sentuhan Rakyat di perkarangan Pasaraya Agro, dekat sini, semalam.

Program digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Pasaraya Agro itu dirasmikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi program itu, sebanyak 30 barang keperluan asas seperti tepung, telur, beras dijual pada harga lebih murah daripada pasaran.

Suri rumah, Nur Laili Abdullah, 45 dari FELDA Bukit Kepayang, di sini berkata, beliau dan rakan datang seawal jam 8 pagi semata-mata untuk mendapatkan barangan dapur pada harga berpatutan.

“Selepas berjoging, saya terus ke sini untuk membeli barangan dapur seperti tepung, gula, telur dan minuman perisa coklat Milo yang dijual pada harga yang murah.

“Saya tidak mahu ketinggalan kerana barangan ini belum tentu boleh didapatkan pada harga sebegini di tempat lain,” katanya.

Ibu tiga anak itu berkata, beliau berharap program itu dapat diadakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi meringankan beban rakyat.

Penduduk lain, Faridah Tarmizi, 56 dari FELDA Triang 3 berkata, beliau biasanya menghabiskan RM300 bagi membeli barangan dapur.

“Bagaimanapun, hari ini saya membelanjakan RM200 untuk membeli barangan dapur dan berpuas hati kerana dapat berbelanja pada harga berpatutan.

“Selain itu, saya bersyukur kerana program ini diadakan tepat pada waktunya dan saya dapat membeli sedikit sebanyak barangan keperluan untuk majlis kenduri kahwin anak yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, program itu akan diteruskan di Parlimen Bera mengikut keperluan dan stok barangan yang ada.

“Program (Jualan Sentuhan Rakyat) ini diberikan diskaun bagi meringankan beban masyarakat di Bera. Harga ditawarkan jauh lebih murah daripada harga pasaran.

“Kebanyakan barang yang dijual adalah keperluan asas seperti beras, tepung dan ayam… kita akan adakan lagi program ini di Bera, mungkin sekali sebulan dan mungkin dua kali sebulan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan akan meneruskan program yang boleh membantu meringankan bebanan rakyat, termasuk menyemak semula program sedia ada bagi memastikan isu membabitkan pengguna dan peniaga dapat diberi perhatian sewajarnya – berita harian