PETALING JAYA: Seramai 16 individu terdiri daripada pemain dan penjaga pusat judi dalam talian ditahan dalam serbuan Operasi Dadu Judi Dalam Talian (Op Dadu JOL) di empat premis di sekitar Sunway Mentari, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan bermula jam 10 malam hingga 12 tengah malam itu, 12 pemain dan empat penjaga premis berusia 25 hingga 57 tahun ditahan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata seramai dua pegawai dan 10 anggota terbabit dalam operasi itu.

“Hasil pemeriksaan terhadap empat premis berkenaan, kami mendapati terdapat aktiviti judi dalam talian dijalankan di lokasi berkenaan.

“Selain 16 individu berkenaan yang ditahan, kami turut merampas 66 komputer riba yang digunakan sebagai mesin judi dalam talian dan sistem kawalan utama selain empat modem,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zani berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM848 dalam serbuan itu.

“Semua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan mengikut Seksyen 4B (A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya – berita harian