SERI ISKANDAR: Sifat jujur, amanah dan cekap merupakan faktor penting yang perlu ada dalam diri setiap graduan ketika memasuki alam pekerjaan.

Bekas Perdana Menteri yang juga Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP) Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata ‎elemen integriti juga perlu dimiliki kerana ia penentu kepada hasil kerja yang berkualiti.

Seramai 87 graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, 138 menerima Ijazah Sarjana manakala 1,244 lagi mendapat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dan Teknologi pada majlis graduasi itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pro-Canselor UTP Tan Sri Sidek Hassan dan Naib Canselor UTP Datuk Dr Abdul Rahim Hashim.

Abdullah, juga menyeru golongan belia untuk turut bersama bergiat aktif dalam proses pembangunan negara termasuk daripada segi penciptaan kekayaan.

Menurut beliau, para graduan perlu menggunakan ilmu yang diperolehi dengan inovasi dan kreativiti supaya dapat memberi nilai tambah dan akhirnya membawa kesejahteraan kepada masyarakat dan negara.

“Menjadi harapan universiti, agar para graduan dapat memanfaatkan ilmu dan pengalaman menimba ilmu di sini bagi kemajuan serta kemakmuran masyarakat dan negara,”ujarnya.

Sementara itu, Dr Abdul Rahim berkata UTP meneruskan pencapaian cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan pelbagai pengiktirafan.

Katanya UTP mencipta sejarah menjadi universiti swasta pertama yang dianugerahkan penarafan enam bintang oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Tambahnya, penarafan berprestij tinggi telah melalui proses penilaian terperinci di bawah Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) bagi kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi.

“Selain itu, UTP menempah nama di peringkat dunia dengan tersenarai dalam ‘World University Times Education Ranking 2016’ di kedudukan 601 hingga 800 serta QS World University Ranking 2016 pada kedudukan 601 hingga 650.

Majlis Konvokesyen UTP ke-16
Majlis Konvokesyen UTP ke-16
Majlis Konvokesyen UTP ke-16
Majlis Konvokesyen UTP ke-16
Majlis Konvokesyen UTP ke-16
Majlis Konvokesyen UTP ke-16

“Daripada 26,000 universiti di seluruh dunia, UTP berada dalam lingkungan tiga universiti terbaik di dunia,” katanya lagi.

Abdul Rahim menjelaskan, di peringkat Asia pula, sejak penyertaan UTP di QS Asia University Ranking pada 2013, UTP kini berada di kedudukan 127 iaitu peningkatan sebanyak 74 kedudukan.

“Sementara itu, daripada sepuluh program Sarjana Muda yang ditawarkan di UTP, tiga daripadanya tersenarai di antara 300 program terbaik dunia iaitu Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Mekanikal serta Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

“UTP telah melakar pelbagai sejarahnya tersendiri dengan membuktikan bahawa ia mampu bersaing dengan lain-lain universiti di dunia,” katanya.

Beliau berkata kejayaan yang dicapai menjadi pembakar semangat untuk meneruskan kecemerlangan UTP sebagai universiti swasta terbaik bukan sahaja di negara ini malah sehingga ke peringkat global.