TAPAH: Jumlah kemalangan maut di seluruh negara mencatatkan penurunan walaupun kes kemalangan jalan raya meningkat sebanyak enam peratus dalam tempoh tujuh hari Ops Selamat 10 sempena Tahun Baharu Cina, bermula 21 Januari lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus, sejumlah 11,440 kes kemalangan dicatatkan bagi tempoh tujuh hari itu, meningkat sebanyak 642 kes berbanding tempoh yang sama Ops Selamat 8 tahun lepas.

Bagaimanapun, katanya, jumlah kemalangan maut menurun kepada 95 kes berbanding 123 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata, jumlah kematian melibatkan pengguna jalan raya juga menurun 23 peratus melibatkan 100 kematian berbanding 132 kematian, tahun lepas.

“Golongan penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan kadar tertinggi, 59 kematian manakala sebanyak 25 kematian membabitkan pemandu serta penumpang kereta,’’ katanya dalam sidang media di kawasan Rehat dan Rawat Tapah (arah Utara) dekat sini pada Sabtu.

Beliau menambah, analisa awal mendapati faktor kemalangan antaranya disebabkan pemanduan tidak cekap, salah membuat pertimbangan sebelum mengambil tindakan semasa  di jalan raya, tabiat suka mencelah atau menghimpit kenderaan lain serta kurang memberikan tumpuan ketika memandu.

“Trend penurunan kemalangan maut dan kematian menunjukkan Ops Selamat kali ini lebih fokus, agresif dan memberi kesan positif kepada pengguna jalan raya.

“Ini menunjukkan polis telah menjalankan tugas dengan sebaiknya dan tidak timbul isu pihak berkuasa gagal,’’ ujarnya.

Mohamad Akhir berkata, sebanyak 103,856 saman melibatkan pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sejak Ops Selamat dilancarkan.

Daripada jumlah itu, ujarnya, polis telah mengeluarkan 68,146 saman menerusi notis kesalahan lalu lintas yang dikesan dalam rakaman kamera manakala 26,494 dikeluarkan menerusi anggota trafik dan selebihnya adalah saman yang ditukar daripada notis kesalahan kepada saman (saman convert).

Katanya, sepanjang tujuh hari lepas, saman yang paling banyak dikeluarkan adalah bagi kesalahan memandu melebihi had laju iaitu 49,611 kesalahan, memotong barisan (1,997) dan tidak mematuhi lampu isyarat (1,628).