Jumlah mangsa banjir di Manjung dan Larut, Matang & Selama (LMS) berkurangan kepada 101 orang berbanding 287 mangsa pada pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, 101 itu daripada 52 keluarga berbanding 100 keluarga semalam.

Katanya setakat jam 10 pagi tadi hanya dua pusat pemindahan masih beroperasi dan dua lagi telah ditutup.

“Pusat Pemindahan Dewan Inderawati, Beruas sebelum ini yang menempatkan 89 mangsa dari 27 keluarga telah ditutup pada jam 9.34 pagi tadi dan kesemua mangsa dibenarkan pulang kerana air telah surut.

“Bagi kawasan Aulong seramai 13 mangsa daripada 3 keluarga dari Kampung Murni yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan Kampung Boyan sejak 8.30 malam Isnin telah dibenarkan pulang juga pada jam 8 pagi tadi,” katanya.

Tambah beliau, dua pusat pemindahan yang masih beroperasi di Kuala Sepetang adalah Dewan Orang Ramai Simpang Halt dan Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang Jaya.

“Seramai 22 mangsa daripada 7 keluarga dari Kampung Jelapang Jaya SImpang telah dipindahkan ke Pusat Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang Jaya sejak jam 10 malam Isnin.

Manakala Dewan Orang Ramai Simpang Halt pula dibuka jam 7 malam tadi menempatkan 78 mangsa dari 30 keluarga.

“Kedua-dua pusat pemindahan itu masih lagi beroperasi setakat jam 10 pagi tadi,” ujarnya.