BERUAS: Jumlah mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai di sini masih kekal 79 orang sehingga jam 8 pagi Khamis.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, mangsa terdiri 19 keluarga.

Daripada jumlah itu, 19 orang adalah lelaki, 24 perempuan dan bakinya kanak-kanak serta bayi, termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU).

Menurut laporan itu lagi, air masih bertakung disebabkan tanah tepu menyebabkan kadar penyerapan perlahan serta kedudukan kawasan yang lebih rendah dari paras laut / sungai.

Setakat ini paras air dicatatkan pada ketinggian 0.25 meter dan cuaca cerah.

Pusat pemindahan sementara itu dibuka sejak 2 Disember lalu bagi menempatkan mangsa dari Kampung Padang Serai.