IPOH: Ketika mangsa banjir di beberapa kampung di negeri Perak sudah lama balik ke rumah masing-masing, mangsa banjir di Kg Padang Serai, Pantai Remis masih menghuni pusat pemindahan sementara.

Sejak berlaku bencana banjir di kampung tersebut kira-kira sebulan lalu, mereka masih di pusat pemindahan di Sekolah Agama Rakyat Kg Padang Serai.

Banjir di kampung berkenaan lambat surut dikatakan kerana fenomena air termenung.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di seluruh Perak menurun kepada 221 orang daripada 62 keluarga sehingga jam 8 pagi Jumaat.

Menurut Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak, mangsa banjir di pusat penempatan di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai di Daerah Manjung kekal 208 orang daripada 58 keluarga.

Di daerah Larut, Matang dan Selama, seramai 13 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Surau Kampung Padang Serai Dalam.