IPOH: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di semua lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri berkurangan kepada hanya 858 mangsa setakat jam 8 pagi tadi berbanding 1,000 mangsa yang dicatatkan, petang semalam.

Daripada jumlah itu, daerah Manjung masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi membabitkan seramai 838 mangsa daripada 186 keluarga yang ditempatkan di enam PPS.

Pegawai Bencana Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Manjung, Shamsur Shahuddin berkata, mangsa paling ramai dicatatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batu, Pantai Remis membabitkan seramai 433 mangsa, manakala seramai 168 lagi ditempatkan di  Sekolah Agama Rakyat Tebuk Yan.

“PPS di SK Dato’ Ishak pula menempatkan 38 mangsa manakala PPS SK Nakhoda Mohamad Taib pula menempatkan 111 mangsa.

“Sementara itu, di PPS Dewan Orang Ramai (DOR) Batu 8, Segari pula seramai 66 mangsa ditempatkan manakala¬† 22 lagi mangsa ditempatkan di SK Muhamad Saman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsur berkata, dijangka ada beberapa pusat pemindahan akan ditutup hari ini berikutan banjir di kawasan terbabit sudah surut dan selamat untuk penduduk pulang ke rumah mereka.

Dalam pada itu, di daerah Mualim hanya tujuh mangsa di tempatkan di DOR Kampung Sungai Muda, manakala di daerah Larut, Matang dan Selama seramai 13 mangsa masih ditempatkan di PPS Kampung Jawa Sungai Nyior, Trong.