IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat semula kepada 510 orang daripada 146 keluarga di 11 pusat pemindahan sehingga jam 12.00 tengah hari tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, jumlah itu meningkat sedikit berbanding 496 orang yang ditempatkan di pusat pemindahan malam tadi.

Daerah Manjung masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 207 orang dari 58 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai manakala 12 orang daripada empat keluarga di Dewan Kampung Tanjung Ara.

Di Hilir Perak, seramai 99 mangsa daripada 26 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong Batu 8, di Teluk Intan, seramai 52 mangsa daripada 18 keluarga berada di Sekolah Kebangsaan Sungai Tukang Sidin dan 31 mangsa dari 10 keluarga di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara.

Di Daerah Larut Matang Selama, seramai 41 orang mangsa daripada Sembilan keluarga berada di Dewan Orang Ramai (DOR) Kampung Padang Serai.

Sementara itu di Kinta, seramai 42 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di Dewan Sikh Settlement Tanjung Tualang dan 26 lagi mangsa daripada 10 keluarga di Dewan Orang Ramai Tanjung Tualang.

Jurucakap itu memberitahu, operasi membawa keluar mangsa banjir yang dijalankan di Kampung Selat Manggis Sungai Kerawai, Chikus masih lagi diteruskan.

Setakat ini lapan keluarga sudah dipindahkan di pusat pemindahan Sungai Kerawai.

 

banjir