IPOH: Polis menjumpai bahan letupan dipercayai milik suspek kes dadah yang ditanam di bawah pokok manggis di belakang rumah di Kampung Air Kuning, Changkat Jering, 18 Disember lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata, antara barang itu ialah 15 batang Emulex, enam peledak elektrik, bekas yang penuh dengan cecair hitam, kotak baja tonik, setengah karung baja klorida rendah dan tiga tong yang mengandungi bahan berwarna putih yang tidak dikenal pasti.

Emulex merupakan bahan letupan emulsi berasaskan air yang biasanya digunakan dalam perlombongan, kuari, pembinaan jalan dan kereta api dan terowong.

Menurut beliau, polis turut menahan wanita berusia 38 tahun dipercayai isteri kepada lelaki berusia 41 tahun yang memiliki bahan letupan berkenaan.

Wanita itu telah dibebaskan selepas direman selama tujuh hari.

“Kita masih menyiasat motif bahan letupan itu dan kami tidak menolak penggunaannya adalah untuk keganasan atau untuk melindungi sindiket dadah dan jenayah lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, polis percaya bahan letupan itu dimiliki suami wanita itu yang ketika ini dipenjara kerana kesalahan berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958.