JEMPOL: Seorang suri rumah terkejut sardin yang dibeli di sebuah pasar di Bahau, di sini, mengandungi cacing ketika ingin membuat sandwic untuk bekalan suaminya ke tempat kerja, semalam.

Bapa suri rumah itu, Shukor Yatim, 65, dari FELDA Pasoh Tiga, berkata anaknya Shuhelniwati, 38, menemui beberapa cacing dalam tin sardin berkenaan, kira-kira jam 8 pagi ketika ingin menyediakan bekalan untuk suaminya.

Shukor berkata, cacing itu ditemui dalam dua daripada lima tin sardin keluaran tempatan yang dibeli beliau di pasar raya berkenaan.

“Sardin itu saya beli di sebuah pasar raya di Bahau, Jumaat lalu dan tarikh luput pada 2021,” katanya kepada NSTP.

Katanya, beliau akan membuat laporan kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya tindakan lanjut dapat dilakukan pihak berkuasa.