PARIT BUNTAR: Penduduk kampung menjumpai mayat dua remaja lelaki di dua lokasi berasingan di sini, hari ini.

Mayat pertama yang lengkap berpakaian sekolah ditemui penduduk pada 7.30 pagi di Parit 1, Kampung Kedah, di sini.

Mangsa dikenal pasti sebagai Khairulnizam Mohd Radzi, 14, pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Tahzib, Titi Serong, dekat sini.

Mangsa dipercayai terbabas ke dalam parit berkenaan berikutan motosikal jenis Yamaha Nouvo LC yang ditemui berhampiran mayat.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

Dalam kes berasingan, satu lagi mayat lelaki ditemui tertiarap di dalam parit di pinggir jalan utama di Kampung Sungai Kota di sini, kira-kira 6.40 pagi tadi.

Mangsa, Zulkifly Zakariya ,19, beralamat di Tanjung Berembang, Nibong Tebal, Pulau Pinang, ditemui penduduk yang melalui jalan berkenaan.

Mangsa juga dipercayai terbabas kerana motosikal jenis Yamaha 125Z turut ditemui berhampiran mayatnya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk tindakan lanjut.

Sumber polis yang mengesahkan kejadian memberitahu, siasatan lanjut masih dijalankan.