MISTERI motosikal yang tersadai di bahu jalan berhampiran kawasan perumahan Jalan Impian Indah, BK 8/3D, Bandar Kinrara, Puchong, membawa kepada penemuan mayat dipercayai lelaki warga Indonesia di dalam hutan, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 2.20 petang oleh penduduk yang menemui mayat berkenaan.

“Difahamkan mayat itu ditemui penduduk kawasan perumahan berhampiran yang curiga dengan motosikal di bahu jalan berkenaan. Pemeriksaan penghuni terbabit menemui mayat lelaki di dalam hutan itu.

“Semakan lanjut oleh pasukan forensik mendapati mayat lelaki itu lengkap berpakaian, namun tidak memakai kasut dalam keadaan tertiarap di lereng bukit di kawasan hutan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan luka dipercayai akibat ditusuk objek tajam pada bahagian belakang leher, pinggang dan siku kiri lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ismadi berkata, pemeriksaan lanjut menemui kunci motosikal serta cukai jalan pada tangan kanan lelaki itu selain beg silang yang ditemui berhampiran mayat mangsa.

“Di dalam beg itu, terdapat dompet mengandungi sejumlah wang tunai dan salinan dokumen Program Penggajian dan Penempatan Semula pendatang asing tanpa izin (PATI) atas nama seorang lelaki warga Indonesia.

“Kami turut menemui motosikal kira-kira 60 meter dari lokasi mayat mangsa ditemui yang diletakkan di bahu Jalan Impian Indah, Bukit Jalil, di sini, dalam keadaan berkunci baik.

“Semakan mendapati motosikal itu didaftarkan atas nama lelaki warga Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan waris dan punca kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya sedang mengenalpasti identiti mayat terbabit.

Katanya, berdasarkan salinan dokumen program penggajian dan penempatan semula yang ditemui pada mayat mangsa, mangsa lelaki warga Indonesia itu dipercayai bekerja di kedai menjual perkakas di Selangor – hmetro