KOTA KINABALU: Bau busuk di bilik sewa dekat tingkat dua sebuah bangunan di Lorong Sinsuran, di sini membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang hampir reput.

Mayat ditemui selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang terhidu bau busuk di luar bilik itu kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, mangsa dikenali R Vasudevan, 57, dipercayai mati sejak tiga hari lalu.

“Sebelum itu kita terima panggilan pengadu yang turut menyewa bilik di bangunan berkenaan mengenai bau busuk dari bilik mangsa.

“Sepasukan anggota ke lokasi dan pemeriksaan menemui mayat mangsa terbaring di atas lantai, hampir reput dan berbau. Mendiang dipercayai mati sejak tiga hari lalu.

“Pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang unsur jenayah dan tiada kecederaan pada mayat,” katanya.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1, di sini untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut – berita harian