KUALA KANGSAR:Seorang juruhebah radio dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini atas pertuduhan memiliki pistol dan peluru, minggu lepas.

Tertuduh, Abdul Aziz Mohamed Desa, 47, mohon bicara selepas kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan dihadapan Hakim Rohaida Ishak.

Bagi pertuduhan pertama, Abdul Aziz didakwa memiliki sepucuk senjata api jenis Walther Semi Auto buatan German tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971 yang membawa hukuman penjara empat tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki tujuh butir peluru tanpa kebenaran yang sah dan kesalahan boleh dihukum dibawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh melakukan semua kesalahan itu di KM28, Kampung Bahagia, Sungai Siput kira-kira jam 8.30 pagi pada 26 April lepas.

Pendakwaan dikendalikan oleh Hasyutantee Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap selain mempunyai enam anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dan menetapkan 1 Jun ini untuk lantikan peguam dan sebutan semula kes.