MANJUNG: Selain doktor dan guru, jururawat juga mempunyai keistimewaan soft skill yang tidak dimiliki oleh semua orang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, bukan mudah untuk berurusan dengan pesakit seperti yang dilakukan oleh jururawat.

Menurut beliau, lazimnya pesakit memerlukan perhatian serta kasih sayang dan jururawat mempunyai sifat istimewa itu yang tidak ada pada orang lain.

“Itu sebab tidak semua orang boleh menjadi doktor, guru atau jururawat walaupun mendapat keputusan (peperiksaan) yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Jururawat Idamanku di Hospital Seri Manjung di sini pada Selasa.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim; Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip dan Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Seri Manjung, Dr Zarina Fuad.

Dalam pada itu, Dr Zambry berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan di hospital-hospital bagi memberi keselesaan kepada rakyat.

Ia termasuk projek pembinaan bangunan baharu Hospital Seri Manjung, yang mana katanya, tender projek itu yang bernilai RM60 juta dijangka dibuka pada Mac ini.

Tambahnya, rakyat di negara ini sangat bertuah kerana mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selesa dan murah berbanding negara luar.

Pada majlis itu, Dr Zambry turut meluluskan peruntukan RM100,000 untuk kerja-kerja menambah baik perkhidmatan di hospital berkenaan.