IPOH: Seorang juruteknik sebuah syarikat telekomunikasi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan melakukan serangan seksual terhadap anak saudara tirinya.

Lelaki berusia 58 tahun itu dituduh melakukan jenayah tersebut di sebuah rumah di Taman Seri Desa di sini pada pukul 2 petang, 3 September lalu.

Tertuduh juga didakwa menyerang secara seksual fizikal anak saudaranya yang berusia 13 tahun itu di rumah yang sama pada pukul 1.35 petang, 13 September lalu.

Bapa kepada sembilan orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dia yang beristeri dua itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.
Hakim Murtazadi Amran memerintahkan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan kes itu untuk disebut semula pada 31 Oktober depan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.