PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret di sini membenarkan tempoh tahanan reman seorang jurutera syarikat minyak dan gas disambung empat hari bermula esok bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM361,000.

Majistret Mohd Dinie Syazwan Ab Syukor membenarkan lanjutan tempoh reman itu sehingga 15 Mac ini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Pada masa sama, majistret turut membenarkan isteri suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, pasangan suami isteri itu, masing-masing berusia 58 dan 49 tahun direman sejak 6 Mac lalu, selepas ditahan sehari sebelumnya di rumah mereka di Shah Alam, Selangor jam 2 petang.

Pasangan terbabit dikatakan meminta suapan daripada syarikat kontraktor bagi melakukan kerja pengujian terhadap paip yang dipasang di projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR), Sipitang, Sabah, tiga tahun lalu.

Difahamkan, suspek adalah pengurus kawalan kualiti atau analisis kualiti (QA&QC) projek berkenaan yang ketika itu disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai upah melantik syarikat subkontraktor kepada kontraktor utama bagi menjalankan kerja itu.

Pembayaran rasuah dipercayai dimasukkan ke dalam akaun peribadi suspek dan akaun syarikat isterinya sebagai upah bagi melantik syarikat berkenaan melaksanakan projek – berita harian