IPOH – Seorang jurutera komputer sebuah syarikat ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah bilik hotel di Ipoh, pagi tadi.

Mayat mangsa yang merupakan wanita berusia 27 tahun ditemui sekitar jam 9 pagi dalam bilik air tingkat 6 hotel berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian, tidak menemui sebarang elemen berunsurkan jenayah.

Menurutnya, mangsa beralamat dari Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur itu dipercayai mempunyai penyakit kemurungan dan sepatutnya sedang menjalani rawatan di Singapura.

“Hasil temubual bersama kakaknya berusia 33 tahun mendapati, mangsa pernah beberapa kali mahu membunuh diri dengan mengelar tangannya.

“Siasatan polis tidak menemui sebarang unsur jenayah, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dituntut ahli keluarga sebaik selesai bedah siasat dijalankan.

“Ahli keluarga juga tidak mengesyaki ada unsur jenayah dan menerima sebab kematian tanpa sebarang bantahan,” katanya – sinar