WASHINGTON : Juruterbang Amerika Syarikat (AS) semalam menyaman American Airlines bagi memaksa syarikat itu menghentikan penerbangan ke China berikutan wabak coronavirus kini diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global.

Coronavirus telah menyerang hampir 8,000 orang dan mengakibatkan kematian 170 orang di China, dan kes berkaitan penyakit pernafasan itu telah dilaporkan di beberapa negara lain termasuk AS.

Syarikat penerbangan utama di seluruh dunia telah menggantung atau mengurangkan perkhidmatannya ke China, termasuk syarikat penerbangan United dan Delta dari AS, malah Amerika juga mengumumkan pembatalan penerbangan tetapi hanya pada tempoh 9 Februari hingga 27 Mac dan hanya membabitkan perkhidmatan dari Los Angeles.

Persatuan Juruterbang Bersekutu (APA) memfailkan tuntutan mahkamah di Texas, menyatakan “serius, dan dalam banyak keadaan masih tidak diketahui, ancaman kesihatan yang ditimbulkan oleh coronavirus.”

Kesatuan itu sedang berusaha mendapatkan perintah penahanan sementara untuk segera menghentikan perkhidmatan AS-China syarikat penerbangan itu, dengan menyatakan bahawa Amerika mengendalikan kira-kira 56 penerbangan bulanan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas / Fort Worth dan lapangan terbang di China.

“Keselamatan dan kesejahteraan kru dan penumpang adalah keutamaan kami – pertama, terakhir, dan sentiasa,” kata Presiden APA, Eric Ferguson, dalam satu kenyataan.

“Banyak syarikat penerbangan utama lain yang mengendalikan perkhidmatan ke China, termasuk British Airways, Air Canada, dan Lufthansa, telah memilih untuk menggantung perkhidmatan ke negara itu sebagai langkah berjaga-jaga.”

Pertubuhan Kesihatan Sedunia semalam mengisytiharkan wabak virus sebagai kecemasan antarabangsa – perisytiharan yang jarang dilakukan, yang boleh membawa kepada peningkatan koordinasi antarabangsa dalam menangani penyakit itu.

Tetapi agensi PBB itu tidak menyarankan sekatan perjalanan atau perdagangan.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat telah mengesyorkan pelancong supaya mengelakkan semua perjalanan yang tidak penting ke seluruh China. – AFP