AMPANG : Seorang juruukur tanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian anak perempuan bongsunya, Oktober lalu.

Tertuduh, Mohd Nazri Mohaizi, 34, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, bapa dua anak itu yang didakwa sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas kanak-kanak yang berusia setahun enam bulan, didapati telah melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kematian mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta hadapan Night Vision Lasers System (m) Sdn Bhd, No 17, Jalan Jelatek 2, Jelatek Business Park, Kuala Lumpur, antara jam 9.30 pagi dan 5.30 petang, 17 Oktober lalu.

Dakwaan kes mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ng Wee Li tidak mencadangkan jaminan.

Bagaimanapun, Mohd Nazri memohon jaminan dibenarkan atas alasan dia perlu menanggung isteri dan seorang anak.

“Saya bekerja sebagai juruukur tanah dengan pendapatan RM4,000 sebulan dan menetap di rumah bapa di Wangsa Maju,” katanya.

Hakim Azrul Darus membenarkan tertuduh jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Ampang sebulan sekali setiap bulan dan pasport diserahkan ke Mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, mangsa maut selepas bapanya yang juga tertuduh terlupa dan meninggalkannya di dalam kereta selama lapan jam untuk pergi bekerja.

Pada hari kejadian, tertuduh dikatakan membawa mangsa bersama disebabkan tiada pengasuh – berita harian